Blog ini baru sahaja saya siapkan semalam. Beli domain dan hosting, buat tetapan emel, pasang platform WordPress iaitu antara platform blogging yang terbaik, dan seterusnya melakukan tetapan-tetapan asas pada WordPress.

Semua yang dah dibuat ini adalah penting, tapi tidak sepenting menulis artikel untuk dimasukkan ke dalam blog. Oleh itu, tujuan untuk menulis blog itu perlu jelas untuk seseorang blogger. Ini bagi memastikan blog sentiasa terisi dengan artikel-artikel yang baik dan bermanfaat.

Sebab Menulis Blog

Ini adalah 3 sebab utama saya menulis blog, dan mungkin 3 sebab ini juga dapat dijadikan sebagai tujuan untuk anda mula berblog.

1. Mengelakkan Hilang Kebolehan Menulis

Sedari sekolah rendah saya suka menulis. Pernahlah cerpen dan sajak tersiar dalam majalah Dewan Siswa (tahu?). Walau bagaimanapun, sejak berakhir sekolah peringkat menengah, saya jarang menulis dan lama kelamaan jadi malas menulis, hatta menulis status di Facebook.

Salah satu sebabnya ialah risau jika tulisan saya tersalah tatabahasa dan takut untuk terima kritikan orang lain. Jadi, di blog ini saya akan menulis secara ‘anonymous’ terlebih dahulu bagi meyakinkan kembali diri untuk menulis.

Tipsnya di sini, menulis bukanlah satu dosa. Oleh itu, duduk, dan mulakan menulis satu perkataan ke satu perkataan, seboleh yang mampu.

2. Mencari Pendapatan Sampingan

Pada awal saya berblog dulu, saya berblog semata-mata untuk adsense. Namun pendapatan yang diperoleh hanyalah beberapa ringgit. Ini kerana, saya menulis dalam topik (niche) yang saya sendiri tidak minat.

Kemudian saya menulis dalam beberapa buah blog sendiri dalam topik yang saya minat dan mempunyai kepakaran. Walaupun blog-blog ini hanya mempunyai beberapa artikel, namun masih dapat memberikan pendapatan sampingan secara tidak langsung kepada saya terutama dalam memperkenal servis buat blog dan web serta design grafik yang saya jalankan.

Tipsnya, tulis apa yang diminati dan disukai, serta apa yang dibuat. Katakan, jika anda suka menulis mengenai kelazatan makanan-makanan yang pernah anda rasa. Tulisan anda di blog pula ramai pengikutnya. Mungkin kelak ada pemilik restoran yang ingin menjemput anda merasai menu terbaru seterusnya memberi review untuk menu tersebut dalam blog anda.

3. Memahami Sesuatu Maklumat

Albert Einstein pernah berkata: ” If you can’t explain it simply, you don’t understand it well enough “

Saya suka membaca. Malah, saya suka berkongsikan apa yang saya baca. Oleh itu, cara untuk membolehkan saya lebih memahami apa yang dibaca ialah dengan cuba menerangkan dan berkongsikan apa yang saya baca kepada orang lain. Dengan menulis di blog, saya akan dapat bertukar pendapat dengan mereka yang membaca tulisan-tulisan saya serta mengembangkan pemahaman saya terhadap satu-satu topik yang saya sendiri baca dan tulis.

Melakukan sesuatu tanpa tujuan bukanlah satu perkara yang baik. Begitu juga dengan blogging. Jika 3 sebab ini belum mencukupi untuk anda, Tuan Suhimi Nain ada menjelaskan 10 lagi sebab yang popular untuk mula menulis di blog. Semoga bermanfaat 🙂