Dalam artikel pertama mengenai 3 sebab saya menulis blog, saya ada menyatakan bahawa WordPress merupakan antara platform blogging terbaik yang boleh digunakan. Banyak blog popular yang menggunakannya dan sebab-sebabnya akan dijelaskan dalam artikel ini nanti. Artikel ini merupakan artikel pertama dalam Siri Buat Blog WordPress. Sebelum itu, lebih baik jika saya menerangkan sedikit sebanyak tentang WordPress.

Dalam ayat yang ringkas, WordPress merupakan platform ataupun perisian yang boleh digunakan untuk membina laman web khususnya blog dengan mudah secara percuma. Percuma di sini bermaksud anda boleh memuat turun, memasangnya pada hosting , mengubah ataupun memberikannya kepada sesiapa saja tanpa dikenakan bayaran ataupun sekatan undang-undang. Namun, ini tidak menghalang sesiapa saja daripada menggunakan WordPress untuk mencari pendapatan sampingan. Bahkan, Automattic iaitu entiti penting di belakang WordPress turut membuat keuntungan daripada WordPress dengan beberapa cara.

Jika anda sedang merancang untuk memulakan sebuah blog, ini merupakan 5 sebab untuk anda memulakan blog tersebut dengan menggunakan WordPress.

Sebab Menggunakan WordPress

1- WordPress Mudah Dipelajari

Ramai yang menggunakan WordPress, daripada blogger yang baru mula menulis blog sehinggalah pembangun web yang terkenal. Jadi terdapat banyak panduan yang boleh digunakan untuk mempelajari WordPress. Masalah mungkin timbul sewaktu mempelajari dan menggunakan WordPress, namun masalah tersebut boleh diatasi kerana ramai yang boleh membantu (walaupun mungkin dengan sedikit caj dikenakan).

2- WordPress Boleh Digunakan Sebagai Apa Saja

Er, maksud saya apa saja jenis web. Samada anda ingin membina sebuah blog, website untuk bisnes, forum perbincangan mahupun kedai online, semuanya terpulang kepada keperluan dan kreativiti anda. Katakan pada awalnya anda hanya ingin memulakan sebuah blog bagi menulis berkaitan topik yang diminati, namun anda boleh mengubahnya menjadi sebuah kedai online apabila berkeperluan untuk berbuat demikian.

3- WordPress Mesra Enjin Carian

Enjin carian seperti Google bekerja setiap masa untuk mengindeks konten-konten baru di ruang maya. Andaikan bahawa anda menulis mengenai servis yang anda jalankan, ianya mudah untuk diindeks dan diakses oleh pengguna internet sekiranya anda menggunakan WordPress.

4- Banyak Tema & Plugin Menarik Pada WordPress

Anda tidak perlu menjadi seorang designer untuk memastikan laman web ataupun blog anda kelihatan menarik. Cukup dengan hanya membuat carian di direktori tema WordPress, anda akan dipaparkan dengan ribuan tema yang cantik yang boleh digunakan untuk blog anda. Pemalam (plugin) pula boleh ditambahkan untuk menambahkan fungsi blog atau web sesuai berdasarkan keperluan anda. Sebagai contoh, jika anda ingin memasang borang contact pada blog, terdapat banyak plugin contact yang boleh dipilih untuk digunakan.

5- WordPress Selamat Digunakan

WordPress mempunyai satu komuniti pembangun dan pengguna yang ramai dan kuat. Versi terkini WordPress setakat artikel ini ditulis ialah 4.5.3 dan platform ini sentiasa dikemaskini dari semasa ke semasa. Dengan setiap kemaskini pula, ciri-ciri keselamatannya dipertingkatkan. Jika anda ingin memastikan blog yang bakal dibina selamat dari sebarang pencerobohan sehingga menyebabkan blog tidak dapat diakses, anda perlu menimbang untuk menggunakan WordPress sebagai platformnya.

Bagaimana, sudah mula berminat untuk menggunakan WordPress? Nantikan siri artikel yang seterusnya.